MH370 - Catat Tempoh Hilang Paling Lama.


Kuala Lumpur – Kehilangan pesawat MH370 yang memasuki minggu kedua, tanpa petunjuk nyata mengenai lokasinya mengatasi rekod jumlah hari kehilangan pesawat komersial sejak 1972.


Tempoh pesawat hilang paling lama dalam sejarah penerbangan moden sebelum ini adalah 10 hari membabitkan pesawat tambang murah Adam Air 574, yang hilang pada Januari 2007 di luar pantai Sulawesi Selatan, Indonesia.


Hilang dari radar


Pesawat Boeing 737-400 yang membawa 102 penumpang dan anak kapal dari Surabaya menuju Manado itu secara tiba-tiba hilang dari radar akibat cuaca buruk.


Pelbagai spekulasi timbul antaranya pesawat itu melanggar gunung setinggi 8,000 kaki di Rangon, Sulawesi Barat, namun disangkal apabila cebisan bangkai pesawat ditemui nelayan selepas 10 hari nahas berlaku.


Kotak hitam pesawat itu hanya ditemui selepas tujuh bulan, namun bangkai lengkap pesawat Adam Air masih belum ditemui sehingga hari ini dipercayai terhempas di Selat Majene, perairan Laut Sulawesi.


Pesawat Air France AF447 jenis Airbus A330-203 yang membawa 216 penumpang dan 12 kru, yang hilang di Lautan Atlantik ketika dalam penerbangan dari Rio de Janeiro, Brazil ke Lapangan Terbang Paris-Charles de Gaulle di Perancis, ditemui lima hari kemudian.

Nahas itu berlaku selepas tiga jam 45 minit ia berlepas menyebabkan semua 228 orang di dalamnya terbunuh.

Sempat salur mesej


Bagaimanapun, sebelum hilang daripada radar, pesawat Air France AF447 menyalurkan mesej automatik mengenai kedudukannya dan pelbagai masalah teknikal menerusi Sistem Laporan dan Penerimaan Komunikasi Pesawat (ACARS) selama tiga minit.


Walaupun mempunyai banyak petunjuk dan dengan bantuan kelengkapan paling canggih, operasi mencari hanya mengesan serpihan pesawat dan mayat pertama pada hari kelima, manakala kotak hitam hanya ditemui dua tahun kemudian.


Bagaimanapun, pesawat sewa Tentera Udara Uruguay yang membawa 45 penumpang dan anak kapal, termasuk pasukan ragbi dari Montevideo yang terhempas di Banjaran Andes dalam keadaan cuaca buruk pada 13 Oktober 1972, hanya ditemui selepas 72 hari.


 



MH370 - Catat Tempoh Hilang Paling Lama.