Kenny Babyface Puji Kelunakan Suara Dato` Siti

Perangkul Anugerah Grammy, Kenny ‘Babyface’ Edmonds memuji kelunakan suara milik penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza di hadapan tetamu kehormat yang menghadiri malam gala Sapurakencana Petroleum Malaysia Grand Prix Charity Gala 2013 di Hotel Majestic, di sini malam semalam.


Pujian ikhlas itu diberikan Kenny Babyface sebaik sahaja selesai mendendangkan lagu duet pertamanya bersama Datuk Siti berjudul When I Fall In Love, sebelum meneruskan kolaborasi mereka dengan lagu Fire bagi menyemarakan lagi majlis.


Bercakap kepada portal murai.com.my ketika dihubungi sebentar tadi, Datuk Siti berkata peluang berduet bersama penyanyi dan komposer terkenal itu merupakan pengalaman yang cukup istimewa serta sangat dihargai.


“Sukar untuk saya ungkapkan perasaan saya selepas berpeluang berduet dengan Kenny ‘Babyface’. Pastinya sangat gembira kerana beliau merupakan composer, penyanyi dan pemuzik yang sangat disegani.


“Lebih-lebih lagi ketika di zaman sekolah dulu saya sering mendengar lagu-lagu merdu Babyface dan sekarang saya berpeluang beradu suara dengannya,” katanya yang sebelum ini pernah berduet dengan Gareth Gates, Lee-Hom Wang dan Sean Kingston.


Majlis gala amal yang dianjurkan sempena kehadiran sukan Formula One di ibu negara itu, telah berjaya mengutip dana sebanyak RM200,000 bagi membantu Institut Jantung Negara.




Kenny Babyface
Kenny Babyface

Selain Kenny ‘Babyface’, Datuk Siti, pelakon popular Hollywood, Teri Hatcher , Josh Hartnett, penyanyi jazz queen Datuk Sheila Majid, Marion Caunter, Joe Flizzow dan pelumba Mercedes GP, Lewis Hamilton serta Nico Rosberg.


Datuk Siti menambah, sebagai artis tempatan dia meletakan dirinya jauh jika mahu dibandingkan dengan penyanyi lagenda itu, apatah lagi namanya hanya dikenali dipersada seni hiburan nusantara sahaja.


Tampil tersendiri dengan gaun hitam litup rekaan Rizman Ruzaini, penyanyi Aku Cinta Padamu itu memuji sikap merendah diri dan bersederhana penyanyi antarabangsa berkenaan sepanjang dapat bersamanya.


“Memang masa kami bertemu tidak lama. Tetapi ketika sesi latihan dan sound check pada sebelah petang sebelum persembahan berlangsung, kami telah dipertemukan buat pertama kalinya.


“Bagi saya, dia seorang yang merendah diri. Sempat juga dia mengajar saya beberapa perkara dan kami berbincang bersama bagi memastikan persembahan kami pada malam berkenaan tampak sempurna,” katanya Datuk Siti.


Agak terkilan kerana tidak dapat menyerahkan cakera padat lagu-lagunya kepada Kenny ‘Babyface’, Datuk Siti bagaimanapun agak berbesar hati apabila penyanyi berkenaan sudi memilihnya untuk berduet bersama.


Kata Datuk Siti, dia hanya diberitahu oleh pihak penganjur mengenai kolaborasi berkenaan iaitu hampir seminggu dua sebelum tarikh sebenar kerana menunggu keputusan daripada pihak Babyface sendiri.


“Sebelum kolabirasi ini dibuat, pihak penganjur telah mencadangkan beberapa nama termasuk nama saya kepada Babyface. Bagaimanapun mereka mahu mengambil sedikit masa untuk melihat latar belakang barisan penyanyi berkenaan.


“Alhamdulillah, yes. Nampaknya selepas menilai sendiri profil saya, Kenny ‘Babyface’ telah bersetuju untuk berduet bersama dengan saya,” katanya dalam nada gembira.


Jelas Datuk Siti, dia memperuntukan masa selama lima hari untuk berlatih mendendangkan dua lagu berkenaan, meskipun telah berlakunya perubahan pada pemilihan lagu di saat-saat akhir daripada pihak Babyface sendiri.


Datuk Siti dan Kenny ‘Babyface’ sepatutnya menyanyikan lagu Everytime I Close My Eyes dan Fire bersama-sama, bagaimanapun telah ditukar kepada When I Fall In Love.


“Sesungguhnya saya tidak berhadapan dengan sebarang kesukaran walaupun ada perubahan di saat akhir. Kerana lagu When I Fall In Love merupakan lagu kegemaran saya dan dia mahu mendendangkan lagu Everytime I Close My Eyes secara solo untuk malam itu,” katanya.



Kenny Babyface Puji Kelunakan Suara Dato` Siti