PERBALAHAN atau PERSELISIHAN FAHAM membabitkan Hanez Suraya dan pengurus peribadinya (PA) sehingga melibatkan mahkamah, bulan lalu sememangnya menjadi perhatian.


Namun jelas Hanez, dia bukanlah sengaja mahu mengheret perkara ini jika ia terjadi buat pertama kali, namun setelah diberi amaran dan permohonan maaf dibuat, pengurusnya itu masih berkelakuan sama dan kali ketiga berlaku, dia mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat undang-undang bagi mendapat keadilan.


“Saya sebenarnya tidak berani untuk mengulas lanjut mengenai kes ini tetapi apa yang penting, kes ini masih berjalan dan kita akan mempunyai tarikh untuk sebutan kes ini.


“Dek kerana kejadian ini, saya susah percayakan orang dan kejadian ini banyak memberikan pengajaran buat saya supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah untuk mempercayai seseorang itu,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran AuraWhite & AuraMen di KL Sentral, kelmarin.


Hanez berkata, biarpun serik untuk mempercayakan orang dan kini sudah mempunyai PA baharu, namun dia tidaklah berdendam dengan PA sebelum ini.


“Kami sudah berkawan lama, saya sudah anggap dia macam keluarga dan boleh dikatakan dia amat rapat dengan saya kerana kami selalu ke mana-mana bersama-sama.


“Saya tidak berdendam dengan dia (bekas pengurus peribadinya). Cuma saya sedih, orang yang saya pernah percaya dulu buat saya macam ni. Saya rasa tak patut dia buat saya macam ini (fitnah),” jelasnya.


Pada 18 November lalu, Hanez memfailkan saman terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Fairus Mohd Lazim di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.


Aktres Love You Mr Arrogant itu mendakwa dia telah difitnah dan diaibkan Fairus menerusi laman sosial seperti Instagram menerusi akaun ‘DashaSultan’ dan Twitter menerusi akaun ‘Dasha_Sultan’.


Tambah Hanez, sebelum ini Fairus ada berjumpanya dan mahu menyelesaikan perkara tersebut di luar mahkamah. Namun kehadiran Fairus tanpa peguamnya menyukarkan keadaan.


“Dia ada datang jumpa saya dan minta selesai di luar mahkamah. Tapi dia datang tak bawa peguam. Jadi tak boleh lah nak selesaikan perkara ni. Bagi saya kalau dia minta maaf dengan begitu saja, saya bimbang dia akan mengulangi perbuatannya lagi nanti,” katanya.


Sambung kontrak


Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungannya dengan bekas kekasihnya, Awi Rafael, Hanez berkata, biarpun tidak lagi berhubungan, namun dia tetap menjadi penyokong karier bekas kekasihnya itu.


“Saya tahu dia ada misi dan visi yang tersendiri untuk berjaya dalam industri seni.


“Biar pun kami tidak lagi berhubung, namun saya tidak berdendam apatah lagi bermusuh dengan dia. Saya juga akan tetap menjadi peminatnya dan penyokongnya seperti sebelum ini,” ujarnya yang menegaskan masih belum menemui kekasih.


Sementara itu, Hanez berkata, dia telah bersetuju untuk menyambung setahun lagi kontraknya sebagai Duta AuraWhite.


Katanya, produk tersebut amat bersesuaian dengan kulitnya dan dia juga menggunakan AuraWhite setiap hari.


“Bila ditanya adakah saya sudi untuk menyambung kontrak untuk setahun lagi, saya rasa tiada masalah kerana saya percaya dengan produk ini,” katanya.