Peguam Shafee Abdullah Nak DEDAH Hubungan Anwar Dengan Bekas Ketua CID

Peguam Shafee Abdullah Nak DEDAH Hubungan Anwar Dengan Bekas Ketua CID



SETELAH lama mendiamkan diri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akhirnya berkata, akan mendedahkan hubungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Mat Zain Ibrahim ketika perbicaraan kedua pemimpin pembangkang itu untuk mengenepikan dirinya sebagai timbalan pendakwa raya di Mahkamah Rayuan minggu depan.


“Saya akan membuat pendedahan penting semasa kes saman sivil oleh Mat Zain kepada Anwar dan sidang yang lain,” katanya.


Beliau berkata, Mat Zain tidak hadir ke mahkamah bagi mengikuti kes itu.


Pada 9 Januari tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah membebaskan Anwar, 66, daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara pada 2008.


Peguam kanan itu berkata, beliau memfailkan afidavit bagi menunjukkan bekas ketua Cawangan Siasatan Jenayah (CID) itu ‘condong’ kepada apa yang dikatakannya dalam akuan bersumpah (SD) 7 Oktober lalu dengan apa yang dikatakannya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.


“Afidavit saya disokong oleh (bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan) Datuk Ramli Yusuff. Saya tidak perlu tanya Matthias Chang untuk mengesahkannya dan tidak perlu menyusahkan Tun (Dr Mahathir),” kata Shafee kepada wartawan ketika diminta mengulas kandungan SD.


Permohonan Anwar untuk mengenepikan Shafee sebagai timbalan pendakwa raya akan didengar pada 19 Disember.


Minggu lalu Anwar memfailkan permohonan menggunakan SD yang dibuat Mat Zain sebagai hujah mengenepikan Shafee.


Anwar dan yang lain mendedahkan Shafee tahu salah laku Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail namun peguam itu sengaja menyembunyikan bukti terutamanya dalam kes perebutan Pulau Batu Puteh di antara Malaysia dan Singapura.


Selain itu, SD berkenaan membabitkan Abdul Gani dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam mengadakan bukti kes “mata lebam” 1998.


Anwar dalam satu notis yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan berkata, Shafee tidak layak dilantik sebagai timbalan pendakwa raya untuk mengetuai pasukan pendakwaan.


Beliau berkata, Shafee tidak akan dapat mematuhi kelayakan Bidang Guaman (Tatacara dan Etika) 1978 bagi menjalankan rayuan.


Katanya, keadilan dalam perbicaraan tidak akan dicapai sekiranya Shafee mengetuai pasukan pendakwaan.


Pada 21 November, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar kerana Abdul Gani boleh memberikan kebenaran sementara kepada Shafee untuk mendakwa Anwar.


Permohonan pertama pada 28 Ogos berdasarkan pelantikan Shafee di bawah Kanun Acara Jenayah Seksyen 376(3) dan 379 kerana ia tidak sah.


SD itu dibuat setelah satu pertemuan di rumah Dr Mahathir pada 10 Ogos yang membincangkan pertuduhan bukti yang diubah dalam kes “mata lebam” Anwar 1998.


Turut dibincangkan ialah kekalahan Malaysia mempertahankan Pulau Batu Puteh daripada Singapura setelah dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda.


Turut hadir dalam pertemuan itu adalah bekas setiausaha politik Dr Mahathir, Matthias Chang dan Ramli yang mendedahkan penglibatannya bersama Abdul Gani.


Mat Zain memberitahu Dr Mahathir tentang pemalsuan bukti oleh Abdul Gani.


Dakwaan sedemikian muncul ketika peguam negara dikatakan membawa ahli patologi Dr Abdul Rahman Yusoff untuk menuduh Anwar di mahkamah bagi kenyataan perubatan yang berbeza.


Natijahnya, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat insiden mata lebam yang membawa kepada siasatan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang didakwa memukul Anwar beberapa jam selepas ditangkap pada 20 September 1998.


Pada 2008, Anwar membuat laporan polis terhadap Abdul Gani dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan kerana terlibat dalam kes liwat pertama yang dibuat terhadap Anwar.


Pertuduhan pemalsuan dan salah laku Abdul Gani dan Musa bagaimanapun ditolak oleh tiga ahli jawatankuasa termasuk bekas hakim yang ditubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Dilaporkan dalam pertemuan bersama Dr Mahathir, Shafee bersetuju pelantikan jawatankuasa SPRM membebaskan Abdul Gani dan Musa adalah tidak sah.


Salinan SD yang difailkan pada 7 Oktober itu dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Peguamcara Negara, Datuk Idris Harun dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. – The Malaysian Insider.




Peguam Shafee Abdullah Nak DEDAH Hubungan Anwar Dengan Bekas Ketua CID