WASHINGTON 2 April – Mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan kerap makan ikan mungkin akan hidup dua tahun lebih lama berbanding warga emas yang tidak memperoleh asid lemak omega 3 yang kebanyakannya ditemui pada makanan laut.
Ketua penyelidik, Dariush Mozaffarian yang juga profesor di Jabatan Epidemiologi di Fakulti Kesihatan Awam di Harvard berkata, mereka yang memiliki tahap asid lemak omega 3 yang tinggi secara keseluruhannya mempunyai risiko 27 peratus lebih rendah untuk mati cepat.
Golongan itu turut mempunyai risiko 35 peratus lebih rendah untuk meninggal dunia disebabkan penyakit jantung, menurut penyelidikan yang disiarkan di Annals of Internal Medicine, semalam.
Ketika kajian lain menunjukkan kaitan antara asid lemak omega 3 dan tahap risiko yang rendah diserang penyakit jantung, penyelidikan ini meneliti rekod warga emas untuk mengenal pasti sebarang kaitan antara makan ikan dan risiko meninggal dunia.
Penyelidik memeriksa data untuk tempoh 16 tahun ke atas 2,700 warga emas yang dianggap tidak mengambil makanan tambahan minyak ikan untuk menghapuskan sebarang kekeliruan berhubung penggunaan makanan tambahan atau perbezaan diet.
Kajian itu mendapati, mereka yang mempunyai tahap asid lemak yang tinggi yang kebanyakannya diperolehi daripada ikan seperti salmon, tuna, sardin, hering dan tenggiri, mempunyai risiko lebih rendah untuk meninggal dunia akibat sebarang penyakit dan hidup secara purata 2.2 tahun lebih lama.
Penyelidik turut mengenal pasti asid dokosaheksaenoik (DHA) mempunyai kaitan kuat dengan risiko rendah untuk meninggal dunia akibat diserang penyakit jantung.
- AFP
Info Kesihatan : Hidup 2 tahun lebih lama jika makan ikan