PUTRAJAYA – Perbuatan memuat naik gambar kertas undi merupakan satu kesalahan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria.
Beliau menggulas perbuatan beberapa pengguna laman sosial yang memuat naik gambar kertas undi yang akan digunakan oleh pengundi pos bagi Pilihan Raya Umum
ke-13.
Berikutan itu, SPR sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putarajaya hari ini, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
“Selain untuk menjaga nama baik dan intergriti SPR, laporan dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan, selaras Akta 574 Kanun Keseksaan (Pindaan) 1997,” katanya.
Kamaruddin bagaimanapun menafikan gambar kertas undi yang dipaparkan dalam beberapa laman sosial itu adalah daripada sumber SPR.
“Selepas pihak polis menjalankan siasatan, barulah SPR menentukan tindakan yang akan diambil terhadap individu yang didapati memuat naik gambar berkenaan, biar polis buat siasatan dulu,” katanya.
SPR sudah mengeluarkan kertas-kertas undi pos dalam negara kepada pengundi yang layak mengundi melalui pos mulai 22 April lepas, sementara pengundi pos luar negara dihantar hari ini.
Kategori mereka yang layak mengundi melalui pos dalam negara terdiri daripada anggota tentera dan polis yang bertugas di perbatasan atau pun yang terlibat dalam operasi, petugas media dan petugas SPR.
Kategori pengundi pos luar negara pula membabitkan rakyat Malaysia di luar negara dan Pengundi Tidak Hadir (PTH), yang terdiri penjawat awam yang berkhidmat di pejabat perwakilan dan pelajar sepenuh masa.
Selain itu, SPR turut menafikan maklumat yang disebarkan dalam laman sosial yang menyebut proses pengundian awal bagi kategori pengundi yang layak, telah dilaksanakan semalam (23 April), sebaliknya, menegaskan pengundian awal hanya dijalankan pada 30 April.
“Perbuatan itu sekadar untuk mengelirukan orang ramai dan berharap orang ramai jangan mempercayai berita tersebut, jika ada sebarang pertanyaan dan kekeliruan, hubungi SPR untuk penjelasan,” katanya.
Mengenai nama calon yang tertera pada kertas undi, Kamaruddin berkata nama yang dicetak tidak semestinya mengikut nama pada kad pengenalan seseorang calon itu.
“Sebelum kertas undi dicetak calon diberikan peluang untuk menulis nama apa yang perlu dicetak pada kertas undi.
“Sebagai contoh, jika seseorang calon itu lebih dikenali oleh para pengundi di kawasan dia bertanding dengan nama Ustaz Kamarudin maka boleh tulis nama itu dalam kertas undi,” katanya.
– Bernama
SPR: Memuat naik gambar kertas undi satu kesalahan