Lau Lee semasa sidang media semalam.
JERANTUT – Kerusi Dun Damak semakin hangat apabila dikatakan terdapat seorang ‘tauke besar’ kini dalam usaha memujuk dan beli dua calon Bebas yang bertanding di Dun Damak supaya menarik diri.
Calon BN Dun Damak, Datuk Lau Lee berkata, hal ini berikutan agar Dun ini hanya wujud perlawanan satu lawan satu antara BN dengan PKR.
Menurutnya, difahamkan calon Bebas itu yang menggunakan lambang bunga raya dan cangkul itu didekati oleh ‘tauke besar’ itu supaya tarik diri untuk memperlihatkan persaingan sengit antara calon BN dengan Pakatan Rakyat (PR).
“Saya kenal dengan ‘tauke besar’ itu di mana selepas saya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu, saya memang berkhidmat untuk rakyat dan menentang sekeras-kerasnya tanah yang diluluskan kepada ‘tauke besar’ itu untuk projek membina sebuah stesen minyak.
“Kini tapak tanah itu sudah didirikan dengan sebuah pasar tani yang mana ia beri manfaat kepada petani dan orang ramai. Pasar tani itu adalah pasar tani moden, kekal dan miliki kemudahan kepada orang awam,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar di Bilik Gerakan BN Dun Damak, dekat Sungai Jan , di sini.
Sementara itu, calon Bebas Dun Damak, Koh Boon Heng menegaskan tiada ‘tauke besar’ datang kepadanya untuk memujuk dan cuba belinya supaya tarik diri daripada bertanding di kerusi Dun Damak.
Menurutnya, dia akan terus bertanding di Dun Damak itu untuk merampas kerusi sebelum ini disandang BN.
Ditanya adakah beliau menerima surat rasmi daripada DAP Pusat supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi DAP Jerantut dan Naib Pengerusi DAP Pahang setelah beliau bertanding atas tiket Bebas, Boon Heng memberitahu dia belum terima sebarang surat rasmi.
* Sumber sinarharian
PRU13 : Dakwa cubaan beli 2 Calon Bebas N10 DUN Damak