Abby Abadi
TUMPAT: Pelakon Abby Abadi dan penyanyi Aishah antara selebriti yang ke depan dalam menunjukkan sokongan padu mereka terhadap PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berbanding ketika PRU sebelum ini.
Ahli Parlimen PAS – Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, terdapat empat golongan yang menyokong kuat PAS seperti karyawan, artis, pelakon, seniman dan penyanyi berkumpulan.
“Tahun ini… Alhamdulillah cukup ramai artis bersama kita berbanding pilihan raya sebelum ini. Pada pilihan raya 1999 sudah ada dah, tapi PRU-13 ini artis-artis mula menyokong kita secara terbuka termasuk Abby Abadi dan juga Aishah yang akan menjadi calon PAS di Parlimen Jempol,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena majlis melancarkan kempen ‘K’ (Kekal) di peringkat Tumpat di Kota SPP Warisan di sini, malam Selasa.
Abby Abadi merupakan antara penceramah jemputan selain Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Dewan Pemuda PAS Tumpat, Rusli Abdullah.
Kamaruddin berkata, ia merupakan suatu perubahan besar kerana golongan artis menyedari martabat, maruah dan peranan mereka jauh lebih tinggi daripada sekadar hiburan ‘murahan’, berkepentingan yang hanya bertujuan untuk suka-suka dan gembira sahaja.
“Tetapi tidak, seperti mereka (Abby Abadi dan Aishah) mempunyai nilai dan prinsip hidup, ada pegangan agama yang kuat. Tahun ini mereka sanggup terbuka (menyokong PAS) dan ada yang sanggup menjadi calon parti PAS bertanding,” katanya.
Difahamkan, segelintir hadirin menunggu kemunculan istimewa Abby Abadi yang dikhabarkan bakal diumumkan sebagai calon PAS untuk bertanding pada PRU-13 sekali gus mengikuti jejak Aishah.
Bagaimanapun, tiada pengumuman dibuat mengenainya sehingga majlis itu selesai pada lewat malam Selasa.
Menurut Kamaruddin, selain golongan artis, tiga kumpulan lain yang menyokong PAS ialah anak-anak muda, bekas tentera dan polis serta bekas menteri.
* Sumber mStar Online
PRU13 : Abby Abadi, Aishah Contoh Selebriti Berani Sokong Pas - Kamaruddin Jaffar