Awas ! Boleh gemuk layan laman sosial

 



 


Kajian mendapati wanita sanggup tidak bersarapan kerana menghabiskan masa melayari internet. – AGENSI


LOS ANGELES 17 April – Kajian mendapati hampir empat daripada 10 orang wanita berisiko menjadi gemuk kerana tidak mengambil sarapan pagi semata-mata mahu menghabiskan masa melayari internet terutamanya laman sosial seperti Facebook dan Twitter atau memeriksa e-mel.



Tekanan hidup dalam dunia moden ini menyebabkan hanya 63 peratus golongan wanita mengambil sarapan di rumah dengan selebihnya memilih untuk melayari internet.


Sekurang-kurangnya seorang daripada tiga orang dewasa akan memeriksa e-mel pada sebelah pagi, manakala satu perempat pula lebih gemar melayari Facebook dan Twitter.


Golongan itu tidak menyedari bahawa kajian itu juga mendapati mereka yang tidak mengambil sarapan akan terdedah untuk mengambil makanan yang banyak semasa makan tengah hari.


Keadaan itu menyebabkan mereka mudah menjadi gemuk kerana makanan yang diambil pada tengah hari mengandungi lebih banyak lemak dan manis.


Kajian itu juga mendapati hampir satu daripada lima orang tidak mengambil sarapan pagi selagi tidak menyiapkan kerja mereka.


Manakala terdapat juga yang mengambil sarapan semasa berada di dalam perjalanan ke tempat kerja.
Kajian juga mendapati, satu daripada tujuh orang terlepas mengambil sarapan kerana mereka sibuk dengan tugasan di rumah.


Malah satu daripada dua orang mengakui tahap tenaga mereka akan menjadi lemah jika terlepas sarapan manakala 45 peratus lagi memberitahu mereka merasa lebih produktif apabila mengambil sarapan pagi.
Penyelidik telah memberi amaran bahawa seseorang yang tidak mengambil makanan dalam tempoh yang panjang akan mengidam makanan berkalori tinggi yang berlebihan.


- AGENSI (UM)



Awas ! Boleh gemuk layan laman sosial