Review Filem : Kehebatan Tom Cruise Menyelamatkan Penduduk Bumi Dalam “Oblivion”


Oblivion (1)

Oblivion merupakan sebuah filem sains fiksyen yang mengisahkan tentang situasi yang bakal berlaku pada masa hadapan, di mana pada ketika itu planet Bumi telah musnah akibat bencana alam sehingga membuatkan manusia terpaksa berpindah dan mencari tempat tinggal lain.

Filem arahan Joseph Kosinski ini menampilkan beberapa pelakon hebat seperti Tom Cruise, Olga Kurylenko, Andrea Riseborough, Morgan Freeman dan Melissa Leo.

Secara kasarnya, filem Oblivion menceritakan tentang kehidupan seorang jejaka bernama Jack Harper lakonan Tom Cruise yang bekerja sebagai juruteknik, di mana setiap hari Jack ditugaskan untuk membetulkan mesin pemusnah yang di panggil sebagai Dron.

Setiap hari Jack akan menjalankan tugasan yang sama dan dia sering dibantu oleh rakan sekerja wanita yang dikenali sebagai Victoria, lakonan Andrea Riseborough, di mana Victoria akan sentiasa memantau pergerakan Jack menerusi tempat tinggal mereka yang dipanggil sebagai Tet.

Pada suatu hari, sewaktu Jack sedang membuat rondaan dan menjalankan tugasannya seperti biasa, Jack telah menyelamatkan seorang mangsa yang terhempas jatuh ke Bumi iaitu Julia Rusakova (Olga Kurylenko). Bermula daripada insiden tersebut, Jack telah mula mengalami kecelaruan identiti dan hubungannya dengan Victoria juga menjadi semakin renggang. Apakah punca sebenar Jack berkelakuan begitu dan siapakah Julia sebenarnya?

Tom-Cruise-Olga-Kurylenko-Oblivion

Dalam pada itu, filem ini turut mewujudkan watak pemangsa yang menyerupai ala Predator dan kumpulan ini hanya keluar mencari musuhnya pada waktu malam sahaja.

Siapakah agaknya kumpulan Predator ini ya dan apakah objektif utama mereka memburu Jack? Ingin tahu lebih lanjut, jangan lupa untuk saksikan filem Oblivion di pawagam berhampiran anda mulai 11 April ini. Saya yakin filem ini pasti menjanjikan satu pengalaman yang luar biasa buat diri anda dan pastinya ia sebuah filem yang wajib ditonton pada bulan ini.

Elemen Teknologi Futuristik Cetus Minat Penonton :

Sebenarnya terdapat beberapa eleman menarik yang membuatkan saya terpegun menyaksikan filem ini, yang pertama adalah Helikopter yang digunakan oleh Jack Harper. Memang cun gila helikopter si Jack ini, modelnya yang sedikit bulat dibahagian sisi cermin menampakkan helikopter tersebut sangat futuristik dan ditambah pula dengan beberapa fungsi yang hebat seperti mampu menembak musuh dengan jarak yang jauh serta mampu mengikut arahan tuannya. Selain itu, helikopter ini juga dilengkapkan dengan ciri-ciri keselamatan yang sempurna seperti boleh mengesan zon radioaktif & sempadan pihak musuh. Helikopter ini juga direka dengan tempat duduk yang boleh diubah-ubah mengikut kesesuian serta keselesaan si pemandu.

2417_FPT_00013R

Yang kedua, motorsikal si Jack ini mampu mendaki bukit yang tinggi dan ia dilengkapi dengan ciri-ciri yang keselamatan yang canggih dan berteknologi tinggi. Motorsikal ini mempunyai radar khas untuk mengesan koordinat sebenar sesuatu objek dan mampu dipandu dengan kelajuan yang sungguh luar biasa.

Seterusnya saya tertarik dengan Dron, iaitu mesin pemusnah yang diprogramkan untuk membunuh pemangsa. Dron ini boleh bertindak untuk mengesan dan menjejak mangsanya dengan baik. Mesin ini juga boleh berfungsi dengan sendirinya tanpa dikawal oleh sesiapa. Fungsi utama Dron adalah untuk membunuh pemangsa dan mesin ini telah diprogramkan untuk hanya melindungi dan mengikut arahan ahli krewnya sahaja. Dalam pada itu, Dron juga mempunyai beberapa ciri yang canggih seperti mampu terbang dengan kelajuan yang cukup tinggi, memusnahkan pihak mangsa dengan begitu pantas serta mempunyai mata untuk mengesan siapakah kawan dan lawannya. Sungguh hebat bukan?

gallery26

Hero Tua Lincah?

Selain mesin dan pengangkutan canggih, eleman menarik yang turut terkandung dalam filem ini adalah sewaktu Jack ditawan oleh sekumpulan Predator. Pada waktu itu Jack telah dibelasah dengan teruk dan dibawa ke sarang kumpulan pemangsa berkenaan, akan tetapi nasibnya baik kerana berjaya mengarahkan helikopter yang dipandunya untuk pulang semula ke Tet dan melaporkan situasi gentingnya kepada Victoria. Mampukah Victoria menyelamatkan Jack daripada sekumpulan pemangsa ini?

Sewaktu berada di dalam tahanan pihak pemangsa, segala persoalan dan rahsia mengenai kecelaruan identiti Jack akhirnya terjawab. Bermula daripada insiden tersebut, Jack mula bersikap belot terhadap organisasinya dan cuba mencari kebenaran dalam setiap hal yang dilakukan olehnya. Apakah agaknya kebenaran tersebut dan apakah hubungan sebenar Jack dengan Julia? Nak tahu lebih lanjut, kenalah saksikan filem Oblivion ini di pawagam!

Filem Oblivion

Filem ini berbeza sedikit dengan filem lakonan Tom Cruise yang sebelumnya, kerana watak yang dibawakan oleh aktor ini adalah lebih mencabar dan lebih menggerunkan. Ini kerana Oblivion lebih fokus mengenai situasi masa hadapan. Oleh itu ia memerlukan penghayatan serta daya imaginasi yang lebih tinggi berbanding filem-filem aksinya yang sebelum ini lebih kepada situasi semasa dan tidak terlalu mementingkan perkara-perkara yang memerlukan teknoogi CGI.

Menerusi filem ini, ia menampakkan Tom Cruise sebagai seorang hero tua yang masih mampu mencairkan penontonnya terutama golongan wanita kerana aksi pertarungan yang ditonjolkan oleh aktor kacak ini masih tetap bertenaga dan lincah. Meskipun sudah berusia, akan tetapi segala aksi-aksi dan lagak ngeri yang dilakonkan oleh aktor ini masih lagi menyengat dan mampu memukau mata setiap penonton. 

Ingin tahu sejauh manakah ketangkasan dan kehebatan Tom Cruise? Jangan lupa untuk saksikan filem Oblivion di pawagam berhampiran anda sekarang. Apa pun, jom layan trailer filem tersebut selepas ini :

Review Filem : Kehebatan Tom Cruise Menyelamatkan Penduduk Bumi Dalam “Oblivion”