Katanya, keberanian meresap dalam diri apabila mendengar dua perajurit negara terkorban di Kampung Tanduo, 1 Mac lalu.
Dua perajurit yang terkorban itu adalah ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabaruddin Daud, 46, kedua-duanya dari VAT69.
“Saya betul-betul sakit hati, saya sudah tidak tahan, saya nekad untuk bunuh pengganas kerana perwira kita telah terbunuh.
“Sejurus selepas pertempuran itu (1 Mac), saya terus arahkan ibu, bapa dan adik beradik saya lari meninggalkan kampung ini, saya mahu tinggal bunuh pengganas,” katanya.
Arfian berkata, pada mulanya dia mahu pergi ke Kampung Tanduo untuk membunuh pengganas, tetapi pasukan polis yang mengepung kampung tersebut tidak mengizinkannya masuk dan hanya membenarkan dia tinggal di rumah.
Kecewa dengan arahan polis itu, Arfian terus meletakkan parang di beberapa sudut rumahnya bagi persediaan menentang pengganas jika mereka berjaya meloloskan diri.
Sejak itu, Arfian berseorangan diri di rumah selama 26 hari, menunggu jika ada pengganas berani memecah masuk rumahnya.
“Saya terus berkawal di sekitar rumah, walaupun seluruh penduduk sudah melarikan diri, saya sanggup mati, saya sudah asah parang setajamnya.
“Saya tahu mereka ada ilmu kebal, sebab itu mereka berani datang ke sini untuk membuat kacau. Mereka menggunakan ilmu kulias (menyekat tembakan), ilmu angin (pengabur dan muncul di banyak tempat serentak) serta ilmu kebal.
“Saya boleh berhadapan dengan mereka, saya yakin boleh membunuh beberapa orang daripada mereka (pengganas) sebelum nyawa saya sendiri melayang,” katanya penuh yakin.
Pada 5 Mac, ketika Op Daulat dilancarkan dengan serangan udara dari pesawat pejuang F/A-18D, Arfian masih berada di rumahnya yang terletak hanya 2 kilometer dari Kampung Tanduo.
Katanya, pada pagi hari tersebut, dia sempat merakam serangan udara tersebut di atas atap rumahnya sendiri.
“Selepas pesawat lalu di kampung saya, saya terus merakam dan mendengar letupan yang amat kuat, seluruh tanah bergegar.
“Dia terlalu sakit hati, sebab itu keberaniannya membara, saya hanya redha pada ALLAH tentang keselamatannya,” katanya.
Putri berkata, dia mempunyai enam orang anak, dan Arfian adalah anak ketiganya.
Pencerobohan Lahad Datu: 'Saya rela mati lawan pengganas'