Remy Ishak, baru-baru ini telah menyatakan hasratnya untuk menarik diri daripada berlakon dalam produksi teater M. Butterfly yang dijadual akan dipentaskan bermula 11-14 April ini di Blackbox, Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Remy, 31, memaklumkan kepada pihak produksi bahawa pihak pengurusannya tidak bersetuju untuk beliau memainkan naskah M.Butterfly yang mempunyai elemen seksual dan politik.
Atas sebab ini, pihak produksi telah membuat keputusan untuk menggantikan Remy Ishak dengan Benjy, 35.
Drama yang diinspirasikan oleh opera Madama Butterfly Giacomo Puccini ini mengisahkan watak utama, Rene Gallimard, seorang kakitangan awam yang dihantar untuk bekerja di kedutaan Perancis di China. Gallimard kemudian jatuh cinta dengan diva opera China, Song Liling, yang sebenarnya seorang lelaki menyamar sebagai seorang wanita.
Punyai peminat tersendiri, M.Butterfly sebelum ini pernah dipentaskan di Euqene O’Neill Theatre, New York Amerika Syarikat pada 20 Mac 1988 – 27 Januari 1990 selama 777 kali pementasan yang diarahkan oleh John Dexter. Ia juga pernah difilemkan selama tiga kali melalui 3 orang pengarah berlainan.
Selain itu filem M.Butterfly pernah memenangi dua anugerah iaitu Cerita Terbaik di Drama Desk Award dan Tony Award pada tahun 1988.
Pementasan M.Butterfly karya asal David Henry Hwang ini akan diarahkan oleh Mislina Mustaffa, pelakon/pengarah teater dan filem. M.Butterfly yang bakal dipentaskan ini merupakan teater yang dialih bahasa dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu.
Remy Ishak Tarik Diri Dari Teater Kerana Unsur Seks & Politik