Wanita berusia 106 tahun terima sijil sekolah tinggi


 




SHORT (kiri) menyampaikan sijil sekolah tinggi kepada Reba di apartmennya di Columbus kelmarin.- AP

 


COLUMBUS – Seorang wanita berusia 106 tahun, Reba Williams menerima sijil sekolah tinggi daripada seorang ketua pentadbiran sekolah di sini kelmarin.

Reba berkata, dia berjaya menamatkan persekolahan di sebuah sekolah tinggi di Ohio selepas belajar selama 12 tahun.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak diberikan sijil kerana keengganannya membaca sebuah buku yang diarahkan oleh seorang guru.

Seorang anak perempuannya, Lavata Williams yang berusia 78 tahun memberitahu, semasa menjadi pelajar, seorang guru ibunya itu memintanya membawa buku tersebut ke rumah untuk dibaca.

Lavata berkata, ibunya diminta menulis satu laporan mengenai buku berkenaan jika dia mahu mendapatkan sijil.

Bagaimanapun, ibunya menyatakan, dia tidak menyukai buku tersebut dan ia tidak bernilai untuk dibaca.

Seorang bekas guru bahasa Inggeris kemudian meminta Lembaga Pendidikan Mount Vernon memberikan sijil tamat sekolah tinggi kepada wanita tersebut selepas membaca tentang kisahnya.

Seorang pegawai pentadbiran sekolah AS, Steve Short kemudian datang ke apartmen Reba dan menyampaikan sijil sekolah tinggi itu.

Reba memakai topi untuk lulusan pelajar sekolah tinggi semasa dia menerima sijil tersebut.

Wanita itu yang pernah bekerja sebagai seorang tukang masak lahir pada tahun 23 Januari 1907.

– Agensi ( kosmo! Online )


like-this-page2