Pencerobohan Lahad Datu : Polis Sabah tahan dua lelaki, rampas surat Kesultanan Sulu


 



LAHAD DATU – Polis menahan dua lelaki mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam satu operasi di Tanjung Baru, Pulau Bumbum, Semporna awal pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, suspek berumur lingkungan 50-an dan disahkan bukan warga tempatan.

Katanya, satu fail putih mengandungi dua surat Kesultanan Sulu dan beberapa senjata berbahaya turut dirampas dalam operasi 6.30 pagi itu.

“Tangkapan dan rampasan itu boleh mengaitkan mereka terlibat dalam kegiatan pengganas ini,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Unit Media Ops Daulat di sini.

Menurutnya, statistik terkini tangkapan di bawah SOSMA adalah 135 dan jumlah pengganas yang ditembak mati seramai 70 orang.

- Bernama