KAMALLUDIN (tengah berdiri) memeriksa wanita asing yang ditahan.
Melaka: Seorang wanita asing disyaki pelayan pelanggan (GRO) yang baru sehari bekerja di sebuah pusat karaoke di Taman Merdeka Permai, Batu Berendam, di sini, hanya mampu terkedu dan terpinga-pinga ketika menyedari premis itu diserbu pihak berkuasa, malam kelmarin.
Dia yang berusia lingkungan 20-an antara 21 wanita warga Vietnam yang dicekup dalam serbuan dijalankan sepasukan 13 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen negeri diketuai Timbalan Penolong Pengarahnya, S Santhee dan Azmi Jusoh. Difahamkan, dalam operasi bermula jam 8 malam, semua wanita berusia 17 hingga 32 tahun berkenaan rata-ratanya melayan pelanggan di dalam bilik yang disediakan di premis itu.
Sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka yang berpakaian seksi tidak sempat berbuat apa-apa dan ditahan untuk pemeriksaan lanjut.Hasil siasatan imigresen mendapati pusat karaoke itu pernah diserbu sebelum ini, namun didapati tidak serik kerana masih melakukan kesalahan sama.
Justeru, pemilik premis dan dua pekerja berusia 20 hingga 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
* Sumber myMetro
Baru sehari jadi GRO dah kena Serbu